RSS
Post Icon

dedikasi buat kita


Alhamdulillah..sayyidul ayyam kembali lagi..jom mengulang 110 ayat surah Al-Kahfi pada pagi yang dingin ini, insya Allah~

Saya sangat menggemari hadis ke-36 dalam susunan hadis 40 Imam Nawawi. Walaupun hadis ini panjang, namun sangat dekat dan mendalam maksud setiap baris ayatnya.

Hadis riwayat Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
1-Sesiapa yang melapangkan seorang mukmin satu kedukaan dunia, maka Allah akan melapangkan satu kedukaannya daripada segala kedukaan pada hari Kiamat.
2-Sesiapa yang memudahkan orang yang kesusahan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat.

3-Sesiapa yang menutupi rahsia seorang Islam, maka Allah akan menutupi rahsianya di dunia dan akhirat.

4-Allah selalu menolong hamba-Nya selagimana hamba-Nya itu berusaha menolong saudaranya.

5-Sesiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga.

6-Tidak berhimpun suatu kaum dalam satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk membaca Kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka melainkan diturunkan ketenangan ke atas mereka, mereka diliputi rahmat dan mereka dilingkungi malaikat dan Allah menyebut mengingati mereka kepada orang yang berada di sisi-Nya.
7-Sesiapa yang terlambat dalam amalannya, tidaklah akan segera naik dengan nisab keturunannya.
Sodaqo Rasulullah SAW.

Dedikasi buat sahabat-sahabat saya di DQ dan juga adik-adik Akademi Tahfiz Az-Zikr PERMAI.. buat ingatan saya & kalian.. semoga dilembutkan hati kita untuk menghayati tulisan ini yang saya dapat semasa di DQ. Maaf atas salah silap sepanjang perkenalan kita.


Aku Hamalatul Quran

Bisikan ketenangan menyelubungi sanubari,
kesyahduan kurasakan amat bererti,
acapkali kuterdengar alunan suara insan-insan kerdil,
membasahi lidah dengan kalam-Mu ya Ilahi,
tiada putus-putus mendampingi Kitab-Mu,
membaca, mentadabbur, meneliti ayat-ayat suci.

Segolongan insan yang dihormati,
segolongan insan yang dipandang tinggi,
Inilah insan yang bergelar Hamalatul Quran,
iaitu pendukung kitab suci..
Hamalatul Quran, itulah aku!

Terngiang-ngiang di telingaku ungkapan kata penuh makna,
yang hanya dapat dihayati oleh hati-hati yang suci,
Wasiat Ibnu Mas'ud yang berbunyi..

"seharusnya bagi seorang Hamalatul Quran itu mengetahui..
malamnya ketika manusia dibuai mimpi,

siangnya ketika manusia enak menikmati juadah,

tangisannya ketika manusia bergelak ketawa,

diamnya ketika manusia berkata yang sia-sia,

dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia
.."

Aku merenung sejenak,
Hamalatul Quran..begitukah aku??

kata-kata itu mengetuk fikiranku,
menyentuh hatiku, menyedarkan aku dari lamunanku,
betapa Hamalatul Quran yang hakiki,
Adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan,
mampu berkorban dalam tangisan,

dan rela imannya diuji dengan keperitan..

Baru kutersedar, Hamalatul Quran..kau luar biasa!

Tatkala kuimbas kembali kisah silamku yang penuh dengan kelalaian,
kealpaan,
keseronokan seperti orang kebanyakan,
sememangnya tidak layak untuk diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi,
yang nilainya terlalu tinggi jika dibanding dengan diri yang daif ini..

Namun, Kau anugerahkan jua aku dengan kemuliaan ini,
menjadi salah seorang insan pilihan-Mu,
di dalam dunia Hamalatul Quran yang penuh dengan janji-janji manis di akhirat nanti..
Ibu bapaku bakal kau pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidikku mengenali kehidupan insani.

Tidak mahukah engkau dibangkitkan dengan sinaran cahaya jernih yang terpancar pada wajah yang berseri-seri??
Hamalatul Quran, alangkah beruntungnya dikau!!

Sahabat-sahabat Al-Quran,
sudahkah Al-Quran menakluki jiwamu?
manjadi kekasihmu, buah hatimu yang tiada bertepi?
Ataukah manusia yang masih bertakhta di sanubari?
Ataukah kasih manusia yang masih kau dambai?
Pernahkah kau rasakan Al-Quran itu teman sejati?
Adakah impianmu sekadar satu ilusi dalam fantasi..
yang implikasinya tidak sama dengan realiti kehidupan Hamalatul Quran?

Sahabat-sahabatku..ingatlah,
kita bertemu kerana Al-Quran,
Ukhwah mahabbah yang terjalin ini atas nama Al-Quran,

dan semoga perpisahan kita adalah semata-mata untuk meneruskan perjuangan demi Al-Quran.


Ya Allah, jadikanlah aku seorang Hamalatul Quran yang sejati dan hakiki,
sebagai penyejuk mata penawar hati setiap insan di muka bumi ini,
agar kehadiranku di dunia iini dihargai.
Berkatilah aku dengan anugerah kemuliaan yang Kau beri.

Sesungguhnya kehidupan dunia ini sungguh indah tidak terperi,
dengan alunan ayat-ayat suci yang sentiasa bermain di mulut, di telinga dan di hati.
Lantas kupinta pada-Mu ya Ilahi,
agar di saat-saat akhir hayatku,
alunan kalam-Mu jua yang mengiringi pemergianku.
Ameen Ya Rabb.

p/s: Syurga Allah itu sangat-sangat mahal & syurga Allah HANYA menerima orang-orang yang hebat. Sungguh, walaupun saya sentiasa menyedari bahawa tidak layak menjadi penghuninya, namun, saya tidak mempunyai pilihan lain kerana selain syurga, destinasi pilihan seterusnya adalah neraka, na'uzubillah~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 walk-the-talk: