Saya membelek-belek majalah Nur keluaran Nov 2010, saja mengambil tahu pengisian terbaru majalah-majalah Malaysia dari segi fesyen, masakan dan pengalaman bekerja selain tips gubahan. Membelek dari depan ke belakang, namun bacaan dari belakang ke depan, begitulah cara saya. huhu~
Zainab bt Jahsyi adalah anak kepada ibu saudara Nabi SAW, Umayyah bt Mutalib. Nama asal beliau adalah Barra', namun Baginda SAW menukar nama itu kepada Zainab setelah Zainab menjadi isteri Baginda.
Zainab merupakan wanita cantik yang dipandang tinggi kerana keturunannya. Selain itu beliau terkenal sebagai muslimah yang bertaqwa, rajin bersedekah dan antara yang terawal memeluk Islam dan berhijrah bersama rasul & para sahabat.
Suatu hari, Rasulullah SAW melamar Zainab buat anak angkat Baginda, Zaid bin Harithah. Namun, Zainab tidak berkenan kerana merasakan Zaid tidak sekufu dari segi darjat dan keturunan kerana Zaid pada asalnya adalah seorang hamba yang dihadiahkan kepada Rasulullah SAW oleh Saidatina Khadijah bt Khuwailid.
Rasulullah SAW sangat menyayangi Zaid seperti anak sendiri sehingga ingin mem'bin'kan Zaid dengan nama baginda, dan selepas itu, turunlah ayat 5 surah Al-Ahzab.
"Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber'bin'kan bapa-bapa mereka sendiri dan cara itu lebih adil di sisi Allah"
Lamaran Rasulullah SAW buat Zaid ditolak berulangkali oleh Zainab sehinggalah turun ayat 36 surah Al-Ahzab.
"Dan tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan wanita mukminah, apabila Allah dan rasulNya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan sesat yang nyata".
Keteguhan iman telah meleburkan perbezaan darjat antara manusia. Dengan ketaqwaan kepada Allah, Zainab dan Zaid diijabkabulkan. Subhanallah!
Tatkala berulangkali badai rumahtangga melanda, akhirnya berlakulah perceraian antara keduanya. Sebenarnya, Rasulullah telah mengetahui bahawa mereka akan bercerai dan Allah memerintahkan Baginda berkahwin dengan Zainab bagi mengubah adat masyarakat Arab jahiliyah yang mengharamkan bapa angkat mengahwini bekas isteri kepada anak angkatnya kerana menganggap anak angkat seperti anak kandung. Maka, turunlah wahyu Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 37.
Setelah Zainab dikhabarkan mengenai hal ini, Zainab berasa bangga atas penurunan ayat tersebut sehingga beliau selalu menyebutnya di depan isteri-isteri Baginda SAW, "Kalian dinikahkan oleh keluarga kalian tetapi aku dinikahkan oleh Allah SWT dari atas a'rasy Nya".
Kemuliaan Zainab ini turut disahkan oleh Ummul Mukminin, Aisyah RA, "Semoga Allah merahmati Zainab bt Jahsyi. Dia telah mendapat kemuliaan di dunia ini yang tidak dapat disaingi oleh kemuliaan orang lain. Sesungguhnya Allah menikahkannya dengan Nabi-Nya di dunia dan menurunkannya dalam Al-Quran".
pss: Pada saya, seorang lelaki muslim akan meminang wanita kesukaannya mengikut cara yang dibenarkan syarak. Be gentleman. Jumpalah wali wanita itu, nyatakan hasrat hati dengan penuh beradab, buktikan kesungguhan dengan bertanggungjawab & berperancangan, bukan mengendong anak dara orang ke sana ke mari tanpa ikatan yang sah. Wallahu A'lam.